Rabu, 19 September 2012

Aktiviti Bahasa: Pelancaran Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu


17 September, 2012 adalah tarikh yang dipilih untuk pelancaran Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu bagi Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya, Sengkarai, Tutong.  Antara objektif bagi Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu ini ialah :


  • Menceriakan waktu perkumpulan pagi dan situasi bilik darjah dengan mengadakan pelbagai jenis peraduan;
  • Mewujudkan keyakinan diri murid-murid untuk bercakap di depan khalayak serta mengambil bahagian dalam setiap peraduan yang dijalankan;
  • Menanamkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu; dan
  • Membantu murid agar dapat menguasai komponen Bahasa Melayu dengan mendedahkan mereka kepada komponen ini terutamanya komponen tatabahasa melalui permainan, aktiviti dan peraduan yang disediakan.
Penolong Guru Besar merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Melayu


Pelbagai aktiviti telah disusun bagi memeriahkan lagi bulan Mata Pelajaran ini, antaranya Pertandingan membaca bertema bagi setiap peringkat, Peraduan mengarang antara kelas; Minggu Kuiz mengenai Kata Hubung, Antonim, Sinonim, Penjodoh Bilangan dan Kata Ganda; Aktiviti Tulisan Cantik antara kelas dan Aktiviti Permainan Bahasa.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Membaca Bertema


Dalam ucapannya, Penolong Guru Besar sekolah ini berharap agar murid-muridnya dapat mengambil peluang keemasan ini untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang telah dirancang kerana  pihak sekolah telah menyediakan hadiah kepada pemenang-pemenang sambil menimba ilmu yang dikongsikan melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Diharapkan bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan setiap pelajar mendapat manfaat dari aktiviti-aktiviti yang disediakan.   Tahniah kepada komiti Bahasa Melayu sekolah ini kerana berjaya mencapai kata sepakat untuk mengadakan Bulan Mata Pelajaran ini.

Catatan :
Cg.Masnor_8168

Tiada ulasan:

Catat Ulasan