Selasa, 9 Oktober 2012

Asam Garam Duniaku: Lihat Keadaan Sekeliling...



Pengalaman pahit saya ketika hari pertama saya bergelar seorang guru memang tidak dapat saya lupakan.  Pada hari pertama saya ditugaskan, saya ditempatkan di sebuah sekolah rendah separa pedalaman di Daerah Belait.  Memang pelbagai perasaan yang timbul dalam lubuk hati saya ketika saya menerima surat tawaran tersebut.  Ada perasaan cemas, risau, gembira dan pelbagai perasaan lagi.  

Pada hari pertama pendaftaran, saya datang awal ke sekolah.  Saya dapati, udara di kawasan sekolah tersebut sungguh nyaman dan menenangkan.  Sebagai guru baru, saya sudah setentunya belum mempunyai pengetahuan tentang selok belok sekolah ini.  Oleh itu, ketika waktu rehat, saya bercadang untuk meninjau kawasan sekolah untuk melihat kanak-kanak bermain.   Sewaktu meninjau kawasan sekolah, saya tiba-tiba tertarik dengan sebuah bangunan yang terbiar.    

Apa yang menarik minat saya ialah keadaan sekelilingnya yang dipenuhi dengan sampah padahal bangunan tersebut terletak berhampiran dengan bangunan sekolah.  Timbul rasa tanggungjawab saya sebagai guru agar dapat dijadikan contoh kepada murid-murid saya.  Saya tiba-tiba terfikir untuk mengutip semua sampah tersebut. Tetapi, tiba-tiba, tanpa saya sedari, rupa-rupanya gerak geri saya sedang diperhatikan oleh sekumpulan monyet liar di kawasan tersebut. Alangkah terkejutnya apabila nampak sekumpulan monyet liar.  Saya nyaris-nyaris diserang oleh monyet liar tersebut.  Namun, mujur seorang guru yang ada di sana mengekori saya.  Jika tidak, saya pun tidak tahu apakah yang bakal terjadi kepada saya.  Pada ketika itu, saya sempat melarikan diri dan dapat melepaskan diri daripada diserang oleh monyet tersebut.  Menurut guru tersebut, monyet di sana sangat ganas sehingga menyebabkan tiada seorang pun yang sanggup menyewa kantin sekolah.  Setiap hari barang jualan akan dicuri, dan kadang-kadang menurutnya monyet-monyet tersebut menyerang penguasa kantin. 

Syukur saya panjatkan kepada Ilahi kerana telah menjauhkan saya dari kejadian yang tidak diingini.  Nasihat saya kepada guru-guru yang baharu saja ditempatkan di sekolah baharu agar memerhatikan keadaan sekeliling mereka dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Isnin, 8 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Susahkah Untuk Melafazkan Ungkapan 'Maaf'?





Melalui segmen ‘Berfikir Sejenak’ kali ini, saya tertarik untuk mengemukakan satu ungkapan iaitu ‘Maaf’.  Ungkapan ‘maaf’ ini memang sering kali kita dengar dan ucapkan ketika Sambutan Hari Raya, namun, jarang sekali kita ungkapkan pada hari-hari biasa.  Sedangkan untuk mengungkapkan perkataan ‘maaf’ bukanlah satu perkara yang sukar, dan apabila diucapkan tidaklah mendatangkan kesakitan, malahan sebaliknya akan lebih mengeratkan hubungan persaudaraan atau persahabatan.

Ada yang beranggapan “Tidak perlulah meminta maaf, kerana aku tak buat salah pun!”  Namun, hakikatnya, anggapan seperti ini perlulah diperbetulkan.  Ini kerana ungkapan ‘maaf’ tidak semestinya menunjukkan kita mempunyai atau melakukan ‘kesalahan’  terhadap orang lain, tetapi lebih merupakan sebagai satu komitmen terhadap sesuatu perhubungan persaudaraan atau persahabatan.   Pada hakikatnya, kita yakin yang kita tidak melakukan kesalahan, namun, di sebaliknya, kita tidak sedar ada tingkah laku atau perbuatan kita yang tidak disenangi sehingga boleh menggores atau menyinggungkan perasaan orang lain.  Contohnya, ketika kita bergurau senda.   Oleh itu, dengan meminta maaf, perasaan tergores dan tersinggung tersebut tidak akan menjadi ‘nanah’ dan ‘duri’ dalam sesebuah perhubungan persaudaraan atau persahabatan.

Orang yang tidak tahu meminta maaf walaupun mengetahui yang dirinya melakukan kesalahan merupakan manusia yang ‘ego’ dan ‘tinggi diri’.    Dalam Agama Islam sendiri ada menyatakan akan kepentingan meminta maaf itu seperti mana sabda Rasulullah yang berbunyi "Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT". Ini bererti bahwa manusia yang baik bukan bererti tidak pernah melakukan kesalahan, sebab perkara itu adalah mustahil kecuali Rasulullah SAW yang ma’shum (sentiasa dalam bimbingan Allah SWT). Tetapi, manusia yang baik adalah manusia yang menyedari akan kesalahannya dan segera bertaubat kepada-Nya.

Oleh itu, dalam konteks kehidupan kita sehari-hari, janganlah kita ralat untuk mengungkapkan ucapan ‘maaf’ antara sesama manusia.  Ini kerana ungkapan ‘maaf’ boleh menjadi  ‘ubat’ dan meredakan perasaan ‘amarah’.  Namun, persoalannya apakah kita sudah bersedia untuk meminta maaf jika kita memang benar-benar melakukan kesalahan?   Bagaimanakah caranya kita mengungkapkan perkataan ‘maaf’ tersebut? Adakah kita ikhlas mengungkapkan perkataan ‘maaf’ tersebut?  






Sekian dikongsikan.


Dihasilkan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Rujukan:

Ahad, 7 Oktober 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Cara Anda Mengawal Anak Anda?





Berapa kerapkah anak-anak anda menolak pelawaan anda?. Umpamanya apabila  diajak ke majlis kenduri atau majlis formal?.  Bagaimana anda sebagai ibu bapa menangani masalah ini? 

Berikut adalah beberapa perkara yang ingin saya kongsikan kepada anda mengenai dengan anak-anak remaja.  Sebagai ibu bapa, saya faham anda inginkan yang terbaik untuk anak-anak anda.  Dalam agama Islam, kategori umur remaja bagi lelaki ialah antara 13 hingga 15 tahun, manakala, bagi perempuan ialah antara 9 hingga 15 tahun.  Pada peringkat ini, mereka sudah dianggap remaja kerana perubahan tahap fizikal dan pemikiran.  Perubahan ini semakin ketara apabila mencapai akil baligh. Bagaimanapun dari segi kedewasaan mereka belum lagi berubah sepenuhnya.  Oleh itu,  menegur anak perlulah tepat dan berhati-hati kerana pada tahap ini mereka masih dalam proses perubahan.

Pada masa kini, remaja  lebih banyak mengalami pelbagai tekanan jika dibandingkan pada zaman anda menjadi remaja. Banyak faktor yang menyebabkan mereka berasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup mereka. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, gunakanlah pengalaman yang anda ada untuk redakan tekanan yang menyelubungi hidup mereka.

Beberapa tips untuk mengawal anak-anak remaja:

Bagi yang berugama Islam sudah setentunya doa dari ibu bapa.  Amalan-amalan cara hidup yang berlandaskan syariat Islam.

  1. Galakkan remaja mengambil bahagian dalam kegiatan kokurikulum yang menjurus  kepada aktiviti yang sihat.
  2. Ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan dengan membiarkan anak-anak sendirian sebaliknya cari masa terluang untuk menjalankan aktiviti bersama dengan anak-anak dan rakan-rakan mereka.
  3. Bagi mengelak pengaruh negatif daripada kawan yang negatif, ibu bapa perlulah bersikap prihatin, kenalilah siapa kawan anak-anak.
  4. Bersikap terbuka kepada anak-anak.  Pastikan anak-anak bercerita dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada diri anda.   Pada usia begini mereka mudah terpedaya dengan cinta.  Adalah perkara biasa jika timbul perasaan ingin dicintai dan mencintai dalam diri anak remaja. Terangkan kepada mereka perasaan cinta itu satu lumrah dalam hidup tetapi cinta dalam usia muda tidak ke mana, sebaliknya keperluan diri perlu dipenuhi.

Kasih sayang tidak boleh dibeli dengan harta dan wang ringgit.  Jika anda menyayangi anak anda,  bertindaklah dengan bijak.  Jangan cuai mendidik anak agar mereka tidak hanyut dibawa oleh arus perkembangan zaman. 

Disediakan oleh:
Mesra Hm.