Sabtu, 29 September 2012

Tunjuk Ajarku Guru: Karangan Jenis Peribahasa



Berikut adalah format karangan jenis peribahasa untuk pelajar-pelajar tahun 7 dan 8.


  1. Sebelum menulis karangan bertajuk peribahasa, fahami terlebih dahulu maksud peribahasa itu.
  2. Karangan jenis ini menghendaki kamu menjelaskan maksud peribahasa sama ada dengan cara huraian atau dalam bentuk cerita.
  3. Jika kamu memilih teknik huraian, kamu perlu menjelaskan maksud peribahasa atau cogan kata itu dalam kalangan masyarakat secara ringkas.
  4. Selain itu, jelaskan perkaitan antara peribahasa atau cogan kata itu dengan kehidupan masyarakat hari ini.
  5. Untuk membuktikan bahawa kamu faham akan maksud peribahasa itu,kaitkan peribahasa itu dengan peribahasa-peribahasa lain yang mempunyai persamaan maksud.
  6. Jika kamu memilih teknik cerita pula, cerita itu hendaklah menjelaskan maksud peribahasa atau cogan kata itu.
  7. Selain itu, kamu harus dapat menggambarkan pandangan kamu terhadap peribahasa atau cogan kata tersebut.
  8. Teknik menulis karangan jenis ini sama dengan teknik menulis karangan jenis cereka atau imaginasi, (dimulakan dengan pendahuluan, kemuncak dan diakhiri dengan kesimpulan yang sesuai.

Contoh karangan  peribahasa yang menghuraikan maksud peribahasa.

Tajuk: “Melentur buluh biar dari rebungnya”

Orang Melayu dahulu kala memang bijak mengaitkan perihal masyarakat dengan alam sekitar.  Antaranya ialah bidalan ‘Melentur buluh biarlah ketika rebungnya’ yang bermaksud mendidik anak-anak hendaklah semasa mereka masih kecil.

Dalam bidalan ini, anak-anak digambarkan seperti rebung yang lembut dan mudah dibentuk.  Jika ibu bapa hendak mendidik anak-anak, haruslah mndidiknya ketika anak itu masih kecil.  Apabila anak-anak tersebut sudah meningkat dewasa, proses mendidiknya sudah matang.

Pada peringkat kanak-kanak, seseorang itu belum terdedah kepada pengaruh luar.  Fikirannya masih bersih daripada segala unsur negatif.  Pada peringkat ini, kanak-kanak mudah diajar dan mudah menerima apa-apa yang diajarkan kepadanya.

Kanak-kanak diwajibkan supaya ke  sekolah ketika umur mereka menjangkau tujuh tahun.  Mereka diajar secara berperingkat-peringkat dari peringkat mengenal huruf sehinggalah mereka tahu membaca, menulis, mengira dan mengira dengan sendirinya.  Jika dibandingkan dengan orang dewasa yang baru hendak belajar membaca, menulis dan mengira, kanak-kanak lebih mudah mempelajari apa-apa yang diajarkan kepada mereka.

Proses pendidikan haruslah bermula daripada peingkat awal perkembangan anak-anak kerana mereka adalah bakal pemimpin Negara pada masa depan.  Pada peringkat awal, mereka mudah dikawal.  Begitulah kata bidalan, ‘Melentur buluh biarlah ketika rebungnya’

Di petik dan diubahsuai dari:
Pmr Bahasa Malaysia,2003.
         

Sekarang, cuba pelajar-pelajar menulis karangan jenis peribahasa berbentuk cerita bagi tajuk “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Panjang karangan kamu hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan